KUCHING: Rumah didiami tujuh penghuni sekeluarga hampir terbakar secara menyeluruh dalam kejadian kebakaran di lorong 4, Kampung Mundai Padawan semalam.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, pihaknya menerima laporan kejadian sekitar pukul 6.37 petang semalam.

Katanya, info awal mengesahkan kebakaran melibatkan sebuah rumah satu tingkat jenis separuh kekal berkeluasan 30×40 kaki persegi.

“Setibanya pasukan di lokasi kejadian mendapati api telah merebak ke seluruh rumah menyebabkan kawasan terbakar 70 peratus.

“Operasi pemadaman segera dilakukan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan dengan kekuatan seramai enam anggota dan dibantu oleh 10 anggota Pasukan Bomba Sukarela Kampung Simpok,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Kenyataan itu turut mengesahkan bahawa hasil siasatan bagaimanapun mendapati kebakaran tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

“Kesemua penghuni rumah dilaporkan tidak berada di rumah ketika kejadian kebakaran berlaku,” tambahnya.

Ujarnya, kebakaran berjaya dikawal dan operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada jam 9 malam.