MUKAH: Bagi mempersiapkan pelajar untuk memasuki dunia pekerjaan Politeknik Mukah mengambil insitiatif mewujudkan Program Latihan Berstruktur (SIP) menerusi kerjasama antara Press Metal sejak Julai 2019.

Politenik Mukah dalam satu kenyataan menjelaskan, SIP berpotensi untuk mengenal pasti bakat dan kemahiran pelajar kerana mereka akan menjalani latihan selama lima bulan sebagai sebahagian daripada sukatan pengajian. Sehubungan itu, bagi meningkatkan kecekapan pelajar sebagai Pengawal Proses, satu siri latihan teknikal dalam loji yang berkaitan dengan peleburan aluminium dijalankan.

“Pelajar juga diberi latihan dalam teknik pembuatan Lean dan kemahiran insaniah oleh perunding program, Nisa Bumi Resources.

“Melalui program latihan ini pelajar dapat melengkapkan dan mempersiapkan diri memasuki dunia bekerja sekali gus membangunkan kerjaya mereka dengan Press Metal,” jelas kenyataan tersebut.

Dalam program kali ini, pelajar yang disasarkan adalah pelajar semester lima dalam bidang Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Kejuruteraan Mekanikal.

“Kumpulan pertama SIP yang terdiri daripada 18 orang pelajar. Mereka kini sedang menjalani latihan dari Disember 2019 hingga April tahun ini.

“Daripada kumpulan itu 12 pelajar dari Politeknik Mukah, seorang dari Politeknik Kuching, tiga orang dari Politeknik Kota Kinabalu dan dua dari Politeknik Ibrahim Sultan.

“Pelajar akan dinilai berdasarkan prestasi semasa tempoh latihan dan pelatih yang berjaya akan ditawarkan pekerjaan tetap dengan Press Metal sebagai Pengawal Proses apabila tamat latihan,” tambah kenyataan tersebut.