BAU: Pembinaan Rumah Spektra Permata (RSP) dibina berdasarkan keperluan dan kajian yang dijalankan oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC).

Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam, Dr Annuar Rapa’ee berkata, perumahan RSP ini dibina berdasarkan kepada keperluan dan kehendak pasaran.

Katanya, jika perumahan RSP ini dibina terlalu banyak dan tiada pasaran, perumahan yang dibina akan menjadi rumah terbiar. Katanya, pihaknya akan membina perumahan RSP di Bau berdasarkan kepada permintaan setempat dan memerlukan lebih banyak rumah.

“Kita perlu ada kajian menyeluruh seperti ini kerana kawasan yang perlu kita berikan tumpuan dan jumlah perumahan kita akan bina ini berpatutan di kawasan tersebut. “HDC mempunyai data tersebut, sebab itu di Bau kita bina 164 RSP dan 50 buah rumah dibina awal,” katanya pada Majlis Pelancaran RSP di Dataran Bau semalam.

Annuar berkata, jika ada permintaan tambahan Datuk Henry Harry Jinep akan bersuara di Dewan Undangan Negeri untuk memohon pernambahan jumlah RSP.

Pada masa yang sama, beliau turut menyarankan masyarakat setempat terutama golongan bumiputera untuk mengamalkan budaya menabung.

Annuar memberitahu, dengan adanya simpanan tersebut, sekurang-kurangnya mempunyai bukti transaksi di dalam bank bagi memudahkan urusan mereka untuk membeli rumah pada masa hadapan.

Pada majlis itu juga, Annuar turut merasmikan Taman Rekreasi Bau yang terletak berdekatan Pejabat Daerah Bau.