PELAKSANAAN undang-undang mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kereta pada 1 Jun depan sebenarnya menyusahkan rakyat terutama golongan kelas pertengahan.

Ini kerana harga kerusi tersebut agak mahal dan tidak mampu untuk dibeli bagi golongan kelas pertengahan.

Alasan Kerajaan PH sebagai aspek keselamatan adalah logik dan masuk akal kerana kes kemalangan di jalan raya semakin meningkat.

Menurut laporan, kes kemalangan di jalan raya mencatatkan hampir 20,000 kes dilaporkan dan angka ini sebenarnya agak membimbangkan.

Kerajaan PH mahu melaksanakan undang-undang tersebut dengan alasan mahu menjaga keselamatan pemandu terutama kanak-kanak. Di samping itu, menurut laporan Bernama, piawaian ini bertepatan dengan PBB yang menyarankan langkah keselamatan kanakkanak mempunyai ketinggian serendah 135 sentimeter.

Namun, kerajaan sepatutnya mencari mekanisme untuk membantu golongan pertengahan untuk membeli kerusi tersebut supaya ia tidak membebankan rakyat jelata. Sebagai contoh, kerajaan menyediakan rebat atau potongan cukai kepada pengeluar kerusi kanak-kanak supaya mampu dibeli oleh golongan pertengahan.

Selain itu, kerajaan juga sepatutnya memberi kerusi bayi percuma kepada golongan B40 untuk mengurangkan beban mereka. Bagi golongan M40, kerajaan turut memberi potongan harga untuk sebarang pembelian kerusi bayi supaya ia mampu dibeli dan dimiliki.

Secara peribadi, penulis menyokong undang-undang mewajibkan kerusi kanak-kanak tetapi kerajaan perlu mencari mekanisme untuk membantu golongan kelas bawahan dan pertengahan. Golongan ini telah lama dihimpit dengan kos sara hidup semakin hari semakin sempit ditambah lagi undang-undang baharu yang menyusahkan mereka.

Kerajaan sepatutnya mengkaji dasar ini lebih mendalam dengan mencari kesesuaian dan keperluan dengan situasi di Malaysia.

Di samping itu, kerajaan disarankan jangan terlalu gelojoh untuk melaksanakan undangundang dan dasar kerana dibimbangi akan menimbulkan kemarahan rakyat.

Diharap kerajaan perlu melihat kemampuan rakyat untuk membeli kerusi tersebut sebelum mewajibkan peraturan ini supaya ia tidak menjadi bebanan kepada rakyat.