KUCHING: Tindakan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) yang menolak permohonan peniaga Bazar Uptown DUBS untuk mengekalkan tapak yang sama sebagai tapak bazar Ramadan telah menimbulkan rasa tidak puas hati Exco DUBS.

Pengerusinya, Ir Ismawi meluahkan rasa kecewa susulan keputusan yang diambil oleh MPKS yang mengumpul kesemua operasi bazar di sekitar Desa Ilmu ke tapak Wet Market Aiman tanpa melalui perbincangan semua pihak.

“Kami hanya mahu nasib peniaga kecil-kecilan di kawasan Samarahan tidak diabaikan.

“Memindahkan mereka (peniaga) ke tempat yang mati operasinya adalah sangat tidak munasabah.

“Nasib usahawan bumiputera seharusnya tidak diperjudikan kerana yang bakal menanggung kerugian adalah para peniaga,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis lalu.

Terdahulu, DUBS Cawangan Kota Samarahan telah menganjurkan bazar di Tapak Uptown Desa Ilmu sejak 2015 yang melibatkan 100 hingga 130 peniaga.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuk perasmian dan tinjauan mesra serta pemberian sumbangan daripada pemimpin tempatan sebagai tanda sokongan kegiatan tersebut.

Menurut seorang peniaga iaitu Yatim, bazar Ramadan tersebut perlu dikekalkan di tapak yang sama kerana ia merupakan punca pendapatan peniaga selama lebih tiga tahun di situ.

“Pihak DUBS akan tetap membuat rayuan bagi mengekalkan tapak bazar yang sedia ada kerana ia telah sinonim di hati pengunjung.

“Diharapkan rayuan ini dipertimbangkan sempena Ramadan yang bakal menjelang,” ujar Ismawi.