KUCHING: Chong Chieng Jen tidak ada hak untuk memberi komen mengenai projek sekolah daif di Sarawak kerana beliau tidak mempunyai maklumat lengkap berkenaannya.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Seri Micheal Manyin Jawong menegaskan, kenyataan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bahawa tiada satu pun sekolah di negeri ini dibaik pulih adalah benar dan fakta tersebut disahkan dalam satu kenyataan daripada Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 19 Februari lalu.

Justeru, dakwaan Adun Kota Sentosa itu bahawa Ketua Menteri membuat kenyataan tanpa berunding dengan JKR Sarawak dan mendakwa Ketua Menteri tidak bercakap benar, jelas mengambarkan keangkuhan Chieng Jen sendiri.

“Chieng Jen membuat kenyataan seperti ahli politik tidak matang dan tanpa memeriksa fakta,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Manyin berkata, lima sekolah ditenderkan antara Ogos hingga Oktober 2019, dua sekolah pada Oktober hingga November 2019, 17 sekolah pada November 2019, manakala 13 sekolah pada Disember 2019.

Menurutnya, ia adalah berdasarkan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (MOE), JKR Sarawak dan kementeriannya iaitu jadual asal untuk tender projek baik pulih dan naik taraf 37 sekolah di bawah peruntukan RM350 juta.

“Skop kerja dan kos untuk semua projek ini disediakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan dipersetujui oleh MOE. Selepas itu, MOE menyediakan skop dan kos kepada JKR Malaysia untuk pelaksanaan projek.

Kerajaan Sarawak tidak terlibat dalam menentukan skop atau kos projek.

“Pada 15 Ogos 2019, MOE mengeluarkan surat kepada JKR Malaysia untuk mereka melaksanakan 37 projek dan memastikan tender tersebut dilakukan hujung tahun 2019,” ujarnya.

Manyin menjelaskan, tender untuk lima sekolah diiklankan pada 31 Ogos 2019 dan tutup pada 23 September 2019 untuk dua sekolah dan 21 Oktober 2019 bagi baki tiga sekolah.

Lembaga Pusat Tender Persekutuan Sarawak bertemu pada 6 November 2019 untuk dua sekolah pertama dan memaklumkan keputusannya kepada JKR Sarawak pada 12 November 2019.

Tiga sekolah lain diputuskan pada 18 Disember 2019 dan JKR Sarawak dimaklumkan seminggu kemudian.

Sementara tender untuk SK Grogo Bau diiklankan pada 8 Oktober 2019 dan ditutup pada 18 November 2019.

Tambahnya, JKR Sarawak memohon Surat Penurunan Kuasa daripada Menteri Kerja Raya untuk dua sekolah pada 13 November 2019 dan menerima kelulusan pada 30 Disember 2019.

Surat tawaran kepada kontraktor dikeluarkan pada 14 Januari 2019 untuk untuk dua sekolah iaitu SK Abang Amin, Meradong dan SK Abun Matu, Belaga sementara pemberian tapak dua-duanya dilakukan pada 13 Februari 2020.

Surat Penurunan Kuasa daripada Menteri Kerja Raya untuk empat sekolah lain diterima pada 7 Februari 2020 manakala surat tawaran dikeluarkan pada 14 Februari 2020 dan dijadualkan diberikan pada 13 Mac 2020.

Baki 15 sekolah daripada 31 sekolah telah ditenderkan dan sedang menunggu keputusan Lembaga Pusat Tender Persekutuan Sarawak.

Manakala 16 sekolah masih ditangguhkan ekoran keputusan Kementerian Kewangan (MOF) untuk mengkaji skop dan kos pada tarikh 13 Dismber 2019.

“Berdasarkan semua maklumat ini sangat jelas bahawa tidak ada satu sekolah daif dibaik pulih dengan menggunakan peruntukan RM350 juta yang telah dibayar kepada Kerajaan Persekutuan pada 14 Ogos 2019.

“Untuk makluman Chieng Jen, Ketua Menteri telah diberi maklumat komprehensif mengenai pelaksanaan projek RM1 bilion oleh JKR Sarawak pada 14 Februari 2020,” tegasnya.