KUCHING: Seorang lelaki dan wanita warga tempatan ditahan setelah dipercayai terlibat dalam penemuan dadah pelbagai jenis bernilai RM21,960 di sebuah kediaman kawasan Galacity, Jalan Tun Jugah semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, DSP Tumar Lunya berkata serbuan dilakukan oleh sepasukan polis JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) sekitar pukul 2.40 petang.

Menurutnya, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki berusia 28 tahun di tepi sebuah kereta yang berada tempat letak kenderaan kediaman terbabit.

“Suspek yang menyedari kehadiran polis telah menyerahkan sendiri sebekas plastik hitam berisi 17 peket plastik dadah Ketamin seberat 8 gram dan satu peket plastik berisi 18 biji pil Ecstacy (6 gram) daripada bawah kereta berkenaan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, tangkapan susulan diperolehi daripada hasil pemeriksaan lanjut pasukan serbuan di dalam kediaman suspek.

“Hasil pemeriksaan di sebuah almari bilik tidur suspek menemui 34 peket plastik lutisnar berisi Ketamin seberat 70 gram, satu peket plastik berisi syabu seberat 50 gram, dan satu peket lagi berisi 28 biji pil pelbagai warna dipercayai dadah jenis Ecstacy seberat 10 gram.

“Kita juga menahan seorang wanita berusia 21 tahun yang berasal daripada Miri di lobi kediaman terbabit kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan sama,” jelasnya lagi.

Tumar berkata, turut disita wang tunai bernilai RM1,700 dan barang kemas dianggarkan bernilai RM1,100 di lokasi kejadian.

Dedahnya, kedua-dua suspek yang positif dadah jenis Amphetamine, Methamphetamine, Ketamin, dan Benzo itu bagaimanapun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Tegasnya, kedua-dua suspek telah diluluskan reman selama enam hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada orang awam yang mempunyai maklumat mengenai penyalahgunaan dadah untuk memberi kerjasama kepada mereka.