KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak akan meminda Perkara 16 Perlembagaan Sarawak kerana ia amat jelas menunjukkan hanya rakyat Sarawak layak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, tiada keperluan untuk meminda perlembagaan berkenaan apabila syaratnya amat jelas.

“Bagi Sarawak, hanya rakyat Sarawak yang layak bertanding dan dipilih dalam pilihan raya negeri. “Rakyat Malaysia yang ber-asal dari Semenanjung Malaysia dan Sabah tidak dapat sama sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai cadangan Ketua Penerangan PBB Datuk Idris Buang untuk meminda Perkara 16 Perlembagaan Sarawak selepas melancarkan portal dan aplikasi Sarawak Travel di sini semalam.

Idris mencadangkan agar undang-undang terbabit dipinda supaya individu yang bukan warga Sarawak tidak layak bertanding dalam pilihan raya negeri.

Menurutnya, cadangan berkenaan bukan bermaksud takut akan orang luar Sarawak untuk bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri.

“Tetapi ia dirasakan wajar dilakukan agar selaras dengan trend semasa politik Sarawak. Beliau menggesa pemimpin kerajaan di bawah GPS supaya mempertimbangkan pindaan rang undang-undang ini pada persidangan Dun seterusnya.

Bagaimanapun, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata, ia adalah pandangan peribadi Idris. “Namun, kita akan mempertimbangkannya jika wajar tetapi setakat ini tiada keperluan,” tegasnya.