MIRI: Persatuan Kayan Sarawak (PKS) digesa untuk berusaha lebih keras agar kekal relevan dan seiring dengan perkembangan terkini.

Adun Telang Usan Dennis Ngau berkata, ini merupakan cabaran kepada komuniti kaum Kayan di samping mengekalkan warisan dan budaya tradisional.

Beliau menggesa masyarakat kaum Kayan dan etnik minoriti lain di seluruh negeri untuk berfikiran terbuka serta bergaul dengan masyarakat lain seperti orang Melayu, Cina dan Iban.

“Saya yakin bahawa komuniti Kayan akan dapat mencapai kejayaan lebih besar jika mereka memilih untuk bersatu dan menyokong antara satu sama lain,” katanya selepas Mesyuarat Agung PKS 2020 di sebuah hotel ternama di sini, Sabtu lalu.

Dennis turut menekankan kepentingan pendidikan kepada masyarakat Kayan untuk mencapai kerjayaan dan ia akan diberikan keutamaan dalam agenda PKS bagi tahun seterusnya.

“Pendidikan merupakan kunci utama dalam kehidupan untuk berjaya dan ini perlu dititikberatkan dalam PKS.

“Oleh itu, saya menyarankan agar PKS setiap cawangan menganjurkan aktiviti pendidikan seperti seminar atau ceramah kepada pelajar Kayan,” katanya.

Dennis diumumkan sebagai pengerusi PKS baharu bagi sidang 2020/2022 apabila dilantik pada mesyuarat tersebut.

Turut hadir, Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni, Setiausaha Politik Ketua Menteri, Michael Mujah dan ahliahli jawatankuasa PKS.