TELLIAN Laut A dan wakil dari Dalat, Tanam FC terikat 2-2 dalam aksi Kumpulan E Kejohanan Bola Sepak MuFA Piala Parlimen Mukah di Padang Mesra MDDM Mukah petang semalam yang menyaksikan tiga kad merah dilayangkan pengadil wanita.

Tanam FC mendahului 2-0 pada babak pertama melalui jaringan Nelson Nelly Ramli pada minit ke-14 dan Mohd Junaidi minit ke-41.

Namun Tellian Laut A bangkit pada 25 minit terakhir dengan dua ledakan gol penyerang utama, Awang Iskandar pada minit ke-65 dan 77.

Bagaimanapun, perlawanan tersebut dicemari tiga layangan kad merah, dua untuk pemain Tellian Laut A dan satu untuk Tanam FC. Namun, pertelagahan pemain kedua-dua pasukan berjaya dileraikan.

Dua lagi pasukan dalam Kumpulan E ialah Oya FC dan Tegak. Kedua-duanya juga terikat 0-0 dalam pertama sebelum ini. Ini bermakna keempat-empat pasukan dalam Kumpulan E mempunyai kutipan mata yang sama.

Sementara itu, Sabtu ini pula menyaksikan ‘buku bertemu ruas’ apabila Jourdania membuat perhitungan dengan Leetonia.

Kedua-duanya menang besar dalam aksi pertama. Leetonia membelasah Alor Star A 5-1, manakala Jourdania menumbangkan pasukan pilihan, Tellian Laut B 5-2.

Di atas kertas, kedua-dua pasukan mempunyai peluang 50-50 untuk mara. Yang pasti dijangkakan sekitar 2,000 penonton akan membanjiri Padang Mesra MDDM Mukah.

JADUAL PERLAWANAN

SABTU
Leetonia Lwn Jourdania

AHAD
Pekala United Lwn Sau FC

ISNIN
KSRB Balingian Lwn Petanak United

* Semua aksi berlangsung
di Padang Mesra MDDM.