Agenda utama lindungi hak S’wak

KUCHING: Agenda utama Kerajaan Sarawak adalah untuk sentiasa melindungi hak negeri ini dan mengambil kira kepentingan negara.

Naib Presiden Parti PBB Datuk Julaihi Narawi berkata, sebarang keputusan yang melibatkan negeri akan diserahkan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg selaku Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Kita serahkan kepada Ketua Menteri untuk mengambil keputusan apabila berkaitan dengan Sarawak.

“Ini kerana kita percaya akan kebijaksanaan beliau membuat keputusan, maka tunggu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditanya mengenai perkembangan terkini landskap politik negara selepas mengadakan lawatan ke Lembaga Pelabuhan Kuching di sini, semalam.

Julaihi yang juga Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan menambah, agenda “Utamakan Sarawak” akan terus menjadi keutamaan Kerajaan GPS untuk negeri ini.

Mengulas mengenai lawatannya beliau memberitahu, kepesatan pembangunan sesebuah negara atau wilayah adalah dengan memiliki pelabuhan canggih dan berfungsi secara efisien.

“Maka melalui lawatan ini, kita mengemas kini maklumat dengan Lembaga Pelabuhan Kuching dalam usaha membangunkan pelabuhan di Sarawak.

“Kita tahu, mana-mana negara yang pesat membangun mempunyai pelabuhan yang canggih dan efisien,” ujarnya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak