Galak pembelajaran secara beramal

KUCHING: Biro Sosial dan Kebajikan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Paya Mebi menyumbang keperluan persekolahan kepada seramai 75 orang murid sekolah rendah daripada keluarga kurang berkemampuan.

Penyerahan sumbangan kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Mebi itu disempurnakan oleh Pengerusi Biro Sosial dan Kebajikan PBB Kampung Paya Mebi, Shamsudin Unai di Kampung Paya Mebi di sini, hari ini.

Menurut Shamsudin, sumbangan yang diberikan di bawah Program Bantuan Kasih Balik Sekolah itu adalah berupa beg sekolah, kasut dan alat tulis.

“Objektif kami adalah bagi menggalakkan minat anak-anak ini dalam pembelajaran di samping membantu meringankan beban ibu bapa mereka.

“Melalui program seperti ini, kami juga ingin memupuk semangat kasih sayang, toleransi dan perpaduan dalam kalangan masyarakat kita yang berbilang kaum,” katanya.

Menurut Shamsudin, Program Bantuan Kasih Balik Sekolah merupakan sebahagian daripada kegiatan amal Biro Sosial dan Kebajikan PBB Kampung Paya Mebi setiap tahun.

Selain pelajar sekolah daripada keluarga kurang berkemampuan, mereka turut membantu golongan miskin, orang kurang upaya (OKU) termasuk warga emas dengan menghulurkan bantuan seperti keperluan asas, makanan, kerusi roda dan sebagainya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak