Industri minyak, gas terus berkembang

MIRI: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg percaya industri minyak dan gas khususnya di bandar raya Miri akan terus berkembang, sekali gus membantu mengembangkan ekonomi negeri ini.

Menurutnya, dengan penubuhan pejabat baharu oleh sebuah syarikat Jepun di bandar raya ini, ia satu petanda yang menunjukkan industri minyak dan gas bakal kembali ke Miri.

“Semakin banyak syarikat yang akan kembali ke sini kerana saya percaya syarikat ini yakin dengan kemampuan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan-Persatuan Cina Persekutuan Bahagian Miri, pada Isnin.

Majlis turut dihadiri Yang diPertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud.

Sementara itu, Abang Johari turut menekankan bahawa Sarawak perlu mempelbagaikan produk yang boleh dipasarkan dan dieksport ke luar.

“Pengeksportan ikan tilapia ke Singapura diterima baik di sana dan permintaan juga semakin meningkat.

“Kita juga mengeksport telur ayam ke Singapura dan berlaku peningkatan permintaan.

Kita kini mengeksport sebanyak 2,500 biji telur ayam setiap bulan,” jelasnya lagi.

Abang Johari juga memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak juga akan bekerjasama dengan Brunei dalam sektor pertanian.

Katanya lagi, jika melihat perkembangan dan keadaan pembangunan yang dilakukan sekarang, ekonomi negeri dijangka mencapai pertumbuhan sebanyak lima hingga enam peratus tahun ini.

Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin; Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting; Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Rosey Yunus; Menteri Muda Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil; Presiden Persatuan Cina Bersekutu Sarawak Datuk Richard Wee dan Pengerusi Persatuan Cina Bersekutu Miri Datuk David Goh.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak