Kenyataan bersama PKR: Kami bukan pengkhianat

Malam Jumaat lalu kita menyaksikan usaha tentang golongan sebahagian pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk memaksa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menentu tarikh beliau melepaskan jawatan sebagai perdana Menteri dan melakukan peralihan kuasa kepada Presiden Keadilan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Usaha tersebut adalah kemuncak dari kempen mereka untuk mewarwarkan isu peralihan kuasa sebagai agenda utama PH.

Kempen ini telah dimulakan sejak beberapa bulan yang lalu dengan kekerapan meningkat dari semasa ke semasa sehingga mengalihkan pandangan rakyat daripada usaha untuk memberikan tumpuan kepada agenda pemulihan ekonomi dan reformasi institusi.

Kempen ini telah menghakis keyakinan rakyat dan masyarakat pelabur terhadap kewibawaan kerajaan PH.

Pelbagai usaha dilakukan untuk memberi tekanan kepada Tun Dr Mahathir yang sedang mempersiapkan negara untuk menganjurkan Persidangan Apec pada bulan Dec 2020.

Persidangan ini amat penting kerana ia memberi peluang kepada usaha menampilkan Malaysia sebagai model transisi demokrasi yang mengutama agenda aspirasi rakyat.

Kami yakin bahawa percubaan memaksa Perdana Menteri menentukan tarikh peralihan kuasa sebagai usaha jahat untuk menjadikan Perdana Menteri sebagai “lame duck PM”.

Ini adalah kerana menukar Perdana Menteri ditengah penggal memberi isyarat yang salah kepada rakyat dan masyarakat pelabur. Peralihan kuasa ditengah-tengah penggal akan mengugat kesinambungan dasar-dasar dan persepsi rakyat terhadap kerajaan PH.

Justeru itu kami telah mengamnbil langkah proaktif untuk mengagalkan konspirasi untuk menjatuhkan Perdana Menteru ditengah-tengah penggal.

Langkah yang kami lakukan adalah untuk menjamin keyakinan rakyat dan masyarakat pelabur terhadap kestabilan dan kelangsungan dasar-dasar kerajaan yang bertujuan untuk meningkat tahap sosio-ekonomi rakyat seperti yang terkandung Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Justeru itu kami menyangkal sekeras-kerasnya tuduhan pihak yang melabel kami sebagai pengkhianat.

Sebaliknya mereka yang berusaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri ditengah penggal adalah pengkhianat sebenarnya.

Kerana mereka lebih mementingkan agenda mengambil kuasa Perdana Menteri dari perlaksanaan dasar-dasar kerajaan yang bertujuan memulihkan ekonomi serta meningkat kesejahteraan rakyat.

Usaha kami terbukti benar bahawa pihak tersebut kini menyedar kesalahan yang mereka lakukan.

Justeru itu kenyataan mereka menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan tugasnya sebagai Perdana Menteri hingga akhir penggal.

Datuk Seri Mohamad Azmin Ali
Zuraida Kamaruddin
Dato Saifuddin Abdullah
Dato Mohd Rashid bin Hasnon
Dato Sri Dr Santhara
Dato Mansor Othman
Dato Kamaruddin Jaafar
Baru Bian
Ali Biju
Willie Mongin
Jonathan Yasin

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak