Keputusan bergantung kepada situasi Persekutuan

KUCHING: Keputusan yang diambil Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berhubung perkembangan politik Persekutuan pada masa kini dibuat secara sebulat suara. Naib Presiden PBB Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia berlandaskan kepada kesejahteraan rakyat negeri ini.

“Dalam landskap politik semasa, sokongan penuh kita berikan kepada Ketua Menteri untuk membuat keputusan selepas mengambil kira pandangan semua parti komponen di bawah GPS. “Keputusan yang diambil Ketua Menteri adalah yang terbaik dengan mengutamakan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Ketua Menteri melibatkan perkembangan terkini politik Persekutuan.

Abang Johari pada Rabu lepas dipetik sebagai berkata, apa-apa juga keputusan yang diambil GPS berhubung perkembangan politik Persekutuan pada masa kini akan dibuat berlandaskan kepentingan negara dan negeri ini.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak akan menghormati apa-apa juga keputusan yang diambil oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyelesaikan perkembangan politik sekarang ini.

Sementara itu, Dr Abdul Rahman menjelaskan, Sarawak amat memerlukan Kerajaan Persekutuan yang stabil untuk memastikan tuntutan terhadap hak yang terhakis berjalan lancar.

“Masih banyak pembangunan kita yang mundur termasuk kemudahan asas. “Ini menjadi tumpuan kita ketika ini,” ujarnya. Menurutnya, kerjasama erat dengan kerajaan persekutuan penting untuk memastikan pembangunan negeri ini berjalan lancar.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak