Koronavirus: Lapan kes disyaki di Sarawak masih menunggu keputusan

KUCHING: Empat lagi kes disyaki koronavirus dikesan di Sarawak pada Rabu manakala pada Selasa terdapat satu kes dalam minggu ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan bagaimanapun berkata, lima sampel darah berkenaan masih diuji.

“Ini menjadikan lapan kes disyaki koronavirus masih menunggu keputusan termasuk tiga sebelum ini.

“Sehubungan itu, Sarawak kini masih selamat dan bebas daripada penyakit Koronavirus novel ini,” jelas kenyataan tersebut.

Sehingga jam 12 tengah hari pada 5 Februari (Rabu) lalu, dilaporkan sejumlah 34 kes disahkan negatif daripada 37 kes Pesakit Dalam Siasatan (PUI), manakala tiga lagi kes tersebut masih dalam siasatan.

Manakala pada 2 hingga 4 Februari yang lalu, seramai 18 individu terdiri daripada 10 lelaki dan lapan wanita tidak dibenarkan memasuki negeri ini kerana Sarawak telah meningkatkan dan menguatkuasakan pengurusan terhadap penyebaran virus maut ini, ujarnya.

“Daripada jumlah tersebut, 17 individu berasal dari China dan salah seorang dari Indonesia, turun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Miri, Bintulu, termasuk Lapangan Terbang Mulu dari Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu.

“Mereka juga tidak dibenarkan masuk kerana mereka telah melalui proses masuk dan keluar dari China dalam tempoh 14 hari yang lalu,” katanya.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak sekali lagi mengingatkan semua warganegara asing dan pelancong khususnya yang telah pergi ke China dalam 14 hari yang lalu, kemasukan mereka akan ditolak ke negeri ini.

“Semua rakyat Malaysia (bukan pemastautin Sarawak) yang telah melawat China dalam tempoh 14 hari terakhir adalah dinasihatkan supaya tidak melawat Sarawak sehingga mereka telah selesai menjalani kuarantin rumah selama 14 hari dan disahkan bebas dari penyakit tersebut.

“Semua rakyat Sarawak, pekerja , pemegang Visa yang telah ke China dalam tempoh 14 hari yang lalu mereka boleh memasuki Sarawak tetapi mereka mesti wajib menjalani beberapa sesi kuarantin selama 14 hari dan juga akan dikenakan pemantauan rawak oleh pihak berkuasa yang berkaitan,” jelasnya lagi.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak