Mati kempunan tak jumpa anak

SIBU: Hajat seorang ibu untuk bertemu serta melepaskan rindu terhadap anaknya tidak kesampaian apabila dia ditemui mati di sebuah rumah di Taman Rajang di sini, semalam.

Si mati, berasal dari Indonesia berusia 40 tahun yang bekerja di sebuah ladang kelapa sawit dekat sini ditemui sedang tidur di Taman Esplanade Rajang awal pagi semalam.

Menurut anggota Rela itu, dia menemui si mati sedang tidur keseorangan di situ dan membawanya balik ke rumahnya sementara mencari ikhtiar untuk bertemu dengan anaknya.

Bagaimanapun, si mati didapati tidak sedarkan diri di ruang tamu di rumah anggota Rela itu sekitar jam 11 pagi semalam.

“Saya cuba membangunkan mangsa tetapi tiada sebarang respons,” katanya.

Bimbang akan sesuatu yang buruk berlaku, dia menghubungi ambulans dan paramedik mengesahkan mangsa telah pun meninggal dunia.

“Difahamkan si mati yang bekerja di sebuah ladang, sebelum ini ada menerima panggilan daripada rakannya yang memaklumkan bahawa anaknya telah tiba di Sibu.

“Tidak sabar untuk bertemu anaknya, wanita itu datang ke Sibu dan tanpa memaklumkan kepada pengurusnya,” kata anggota Rela itu yang enggan dikenali kepada media.

Malangnya si mati tidak dapat menghubungi anaknya kerana dia tidak membawa telefon bimbit.

“Ini berdasarkan pertanyaan saya semasa menemui si mati di Taman Rejang Esplanade awal pagi tadi (semalam).

“Saya menemuinya tidur di situ sekitar jam 4 pagi tadi (semalam),” jelasnya.

Sementara itu, pihak polis mengklafikasikan kes itu sebagai mati mengejut dan tidak menemui sebarang unsur jenayah di tempat kejadian.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak