Naris terkorban kereta rempuh pokok

MIRI: Pantang maut sebelum ajal. Seorang wanita nyaris terkorban selepas kenderaan yang dipandu merempuh pokok lalu terbakar dalam satu insiden di Jalan Kuala Baram Bypass, berhampiran dengan stesen minyak di Permyjaya di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.05 malam itu, pemandu kereta Kia Seretto, seorang wanita berusia 35 tahun terselamat selepas sempat keluar dari kenderaan yang terbakar.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan berlaku apabila kenderaan mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan masuk ke pembahagi tengah jalan seterusnya melanggar pokok.

“Akibat daripada itu, kenderaan mangsa terus terbakar di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimana pun, tambahnya, mangsa sempat menyelamatkan diri apabila berjaya keluar daripada kenderaan tersebut dengan bantuan orang awam.

Kes disiasat di bawah Rule 10 LN166/59 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak