Pantau projek ikut spesifikasi

SARIKEI: Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) semalam mengadakan lawatan kerja bagi memastikan semua projek RTP di kawasannya dilaksanakan mengikut spesifikasi dan jadual yang ditetapkan.

Sepanjang lawatan itu, beliau yang juga Adun Semop turut menerima permohonan baharu daripada pemimpin masyarakat selain menyerahkan sumbangan kepada beberapa pertubuhan. Sehubungan itu beliau menyampaikan sumbangan RM4,000 kepada PIBG SK Orang Kaya Muda Pakeri Paloh dan RM3,000 bagi membantu pelaksanaan aktiviti Maksak Bahagian Sarikei.

Pada masa yang sama, beliau turut menyaksikan majlis penyerahan tapak oleh pegawai JKR kepada kontraktor yang dilantik untuk kerja menaik taraf jalan sepanjang 900 meter di Paloh bernilai RM457,000 dan naik taraf jalan sepanjang 382 meter bernilai RM282,000 di Kampung Kedang.

Beliau turut melakukan pemantauan ke atas projek yang diserah tapak seperti naik taraf jalan simen sepanjang 800 meter bernilai RM402,737.83 di Kedang dan naik taraf jalan ban di Berangan sepanjang 700 meter bernilai RM300,000 di bawah RTP 2020.

Abdullah ketika dihubungi berkata, beliau menerima beberapa pemohonan baharu antaranya naik taraf, baik pulih gelanggang sepak takraw di Paloh, naik taraf padang simen serba guna di Kedang.

“Saya juga ada menerima permohonan geran untuk naik taraf atau bina enam rumah panjang baharu di kawasan Berangan. “Ada juga permohonan membina tandas dan pentas dewan Kampung Berangan,” katanya.

Beliau berkata, ia merupakan lawatan kerja rutin yang sering dilakukannya bersama agensiagensi pelaksana projek RTP bagi memastikan semua projek itu memberi manfaat kepada rakyat.

Dalam lawatan itu ujarnya, beliau juga mengambil kesempatan dengan kehadiran pegawai Pejabat Daerah dan JKR untuk membuat penilaian awal tentang kos projek yang dipohon serta maklumat yang diperlukan.

“Saya menyeru semua ketua kaum dan tuai rumah supaya sentiasa memantau projek yang sedang dilaksanakan di kampung atau rumah panjang masing-masing. “Sila laporkan kepada pegawai agensi berkaitan jika disyaki kerja dilaksanakan agak lembab atau tidak mengikut spesifikasi.

“Kita mengakui terdapat beberapa projek RTP yang gagal dilaksanakan dengan baik atau tidak mengikut jadual. “Kalau boleh, kontraktor yang mempunyai rekod buruk dalam pelaksanaan projek RTP mesti diambil tindakan tegas atau disenarai hitam,” tegas beliau.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak