Penyebaran maklumat salah, berita palsu boleh jejaskan kekuatan ekonomi

KUALA LUMPUR:  Perbuatan menyebarkan maklumat salah dan separa benar bukan satu perkara baharu dan telah berlaku sejak zaman berzaman dalam bentuk semasa sembang petang dan bergosip, dengan kesannya mungkin hanya menjejaskan hubungan sesama individu dan tidak memberikan sebarang impak kepada kewangan atau ekonomi.

Namun masa telah berubah.

Kemajuan teknologi, telefon pintar dan pelbagai platform media sosial, yang mana identiti palsu boleh direka dengan mudah, telah mendorong kepada tabiat baharu menyebarkan maklumat salah dan berita palsu. Tetapi tindakan itu kali ini, boleh menjejaskan wang dan sumber kerajaan.

Forum Ekonomi Dunia menyenaraikan penyebaran maklumat salah dan berita palsu sebagai antara risiko global utama dunia.

Semasa artikel ini ditulis, kira-kira 13 berita palsu berkaitan dengan penularan novel coronavirus 2019 telah ditepis oleh pihak berkuasa.

Di Malaysia, seramai 16 orang disahkan positif dijangkiti virus tersebut yang dikatakan berasal dari  Wuhan, China. Daripada jumlah ini, 12 adalah warganegara China dan empat rakyat Malaysia.

Walaupun kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap penyebaran maklumat salah dan berita palsu dan mendakwa di mahkamah mereka yang menyebarkannya, namun tidak dapat disangkal bahawa maklumat meragukan tentang koronavirus tetap tersebar.

Menangani penyebaran maklumat salah, berita palsu dan tindakan sengaja mencetuskan kebimbangan ramai bukan satu tugas yang mudah.

Keseluruhan jentera kerajaan terpaksa digunakan, yang sudah pastinya menggunakan banyak masa bernilai dan pembiayaan yang sepatutnya boleh diperuntukkan bagi kegunaan memerangi penularan koronavirus.

Menurut satu penyelidikan yang dijalankan oleh pakar ekonomi daripada University of Baltimore,  Prof Roberto Cavazos, dan syarikat kecerdasan buatan dan keselamatan siber CHEQ, berita palsu telah menyebabkan kerugian kepada ekonomi global berjumlah kira-kira US$78 bilion (RM322 billion) setahun.

Ia menjejaskan segala-galanya daripada kesihatan awam hinggalah kepada ekonomi.

Laporan mereka bertajuk ”The Economic Cost of Bad Actors on the Internet”, menyebut tentang kos tinggi wabak kesihatan disebabkan berita palsu.

Ia memetik analisis 14 juta ciapan twitter yang dijalankan oleh jurnal sains Nature, yang mendapati akaun palsu bertanggungjawab “memainkan peranan tidak seimbang menyebarkan artikel daripada sumber yang tidak boleh dipercayai”.

Dalam satu artikel yang diterbitkan The Atlantic, penyelidik Nat Gyenes dan An Xiao Mina daripada Berkman Klein Centre for Internet and Society Harvard menulis “di seluruh dunia, maklumat salah mengenai  kesihatan digital semakin membawa kesan yang buruk kepada kesihatan fizikal” di negara membangun dan juga di negara-negara G20.

Laporan Cavazos/CHEQ memetik Simon Stevens, Ketua Perkhidmatan Kesihatan Nasional di United Kingdom, sebagai berkata berita palsu oleh pergerakan anti vaksin di media sosial “telah menyebabkan peningkatan tiga kali ganda kes campak di negara itu.”

“Walaupun, sudah tentunya, kos ekonomi dianggap sebagai kurang penting berbanding risiko kesihatan daripada krisis tersebut, sumber berita yang menyebarkan berita palsu memburukkan kedua-duanya. Penyakit yang boleh dibendung menerusi vaksin dalam kalangan orang dewasa, seperti campak, telah membawa kerugian kepada Amerika Syarikat sahaja berjumlah hampir US$9 bilion (RM37 bilion) setahun, menunjukkan kerosakan yang tercetus akibat daripada maklumat salah,” kata laporan itu.

Ia berkata sumber yang diperuntukkan ke dalam ekonomi global bagi menangani berita palsu termasuklah penyiasatan rasmi, perundangan baharu, program celik media dan penguatkuasaan.

Justeru, melainkan rakyat Malaysia memupuk budaya membaca bukan hanya sekadar tajuk dan menilai dengan teliti maklumat yang diterima, usaha mengekang maklumat salah dan berita palsu tidak akan ada penghujungnya dan kos itu kelaknya bakal ditanggung oleh pembayar cukai itu sendiri.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak