Rindok Digital masuk kampung

BETONG: Masyarakat luar bandar khususnya golongan petani harus dipimpin ke arah penggunaan teknologi terkini dalam sektor pertanian.

Ketua Perkhidmatan Korporat Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) Mohamad Irtidzar Razali memberitahu, ia salah satu platform penting ke arah misi penganjuran program Rindok Digital @ Pusa yang akan menyingkap tirainya esok. Katanya, istimewanya program Rindok Digital di Pusa kali ini kerana ia bersifat inklusif.

“Ia menjurus kepada keperluan dan aspirasi masyarakat setempat. Sektor pertanian merupakan bidang terpenting di kawasan ini. “Ini memandangkan kita ke arah mengaplikasikan ekonomi digital dengan cara melaksanakan pertanian pintar kepada penduduk di sini.

“SMA ingin memastikan masyarakat dapat membangunkan diri, kerjaya dengan menggunakan kaedah terkini,” katanya kepada Suara Sarawak selepas mempengerusikan mesyuarat terakhir Rindok Digital @ Pusa di Pejabat Residen Bahagian Betong, semalam.

Jelasnya, SMA aktif melaksanakan promosi penggunaan teknologi digital dalam kalangan masyarakat setempat seperti aplikasi Sarawak Pay, Sarawak ID dan sebagainya.

“Ini amat penting supaya masyarakat tempatan khususnya golongan muda lebih terdedah kepada teknologi terkini.

Melalui Rindok Digital, kita berusaha mencungkil bakat muda untuk ditonjolkan ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.

Irtidzar mengucapkan terima kasih kepada Adun Beting Maro Razaili Gapor; Pejabat Residen Bahagian Betong; Pejabat Daerah Pusa, semua agensi kerajaan malah NGO yang memberikan sokongan padu untuk memastikan kelancaran program.

Program dijadual bermula 7 hingga 9 Februari depan di Dataran Tandang Sari Pusa. SMA menyasarkan lebih 3,000 penduduk hadir membanjiri Pekan Pusa pada majlis perasmian yang akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Ketika memperincikan program beliau berkata, Abang Johari turut menunaikan solat Jumaat di Masjid Rahmaniah. Selepas itu, pelbagai aktiviti menarik berlangsung antaranya pertandingan karaoke, Bakat Kamek, pertandingan mewarna, e-sukan (Mobile Legend), sesi bersama-sama komuniti tempatan, malam berselawat Pusa dan ceramah agama bersama Imam Muda Ustaz Nazrul Izwan Zolkiflee.

Pada hari kedua akan diadakan Battle of The Band, randau pertanian bersama Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah (Manred), kempen buah-buahan tempatan, menangkap ikan keli, forum ‘Apa ada di Pusa’ serta bengkel pembungkusan dan pelabelan produk.

Pada hari terakhir berlangsung kejohanan Warisan Budaya Melayu (bergendang dan pertandingan bertandak) selain ceramah digital mengenai Sarawak ID, Sarawak Pay, Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs) dan Pustaka PANDEi. Agensi lain turut mengadakan pameran adalah Centexs, Manred, Jabatan Tanah dan Survei, JBALB, Sarawak Energy Berhad, Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, Pelita, HDC, Okshe, Pustaka PANDEi, Sarawak Pay, Positive Mind, Bank Simpanan Nasional dan pelbagai lagi.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak