SKUAD Sarawak United FC (SUFC) bakal menghadapi tugas berat apabila turun menentang Pulau Pinang dalam aksi sulung Liga Premier di Batu Kawan malam ini.

Di atas kertas, peluang kelihatan memihak kepada P. Pinang yang mempunyai keseimbangan di segenap posisi.

Tambahan pula skuad SUFC kelihatan belum lengkap dalam aspek pemain import asing.

Mereka kini masih dalam proses pencarian sekurang-kurangnya dua lagi import bagi menambah kekuatan sedia ada.

Lantaran itu, SUFC akan bergantung sepenuhnya kepada bintang penyerang import, Patrick Ronaldinho, di samping pemain berpengalaman seperti Amri Yahyah, S. Chanturu dan Ashri Chuchu.

Ketua jurulatih SUFC, E. Elavarasan mengakui mereka masih dalam proses pembentukan pasukan.

“Saya baru tiga minggu bersama-sama pasukan… tambahan pula kami belum lagi lengkap dalam aspek pemain import asing.

“Oleh itu, sukar untuk saya meramal keupayaan sebenar pasukan dan peluang untuk menang,” jelas jurulatih berpengalaman itu.

Tambahan pula, rekod pramusim SUFC agak buruk, tiada kemenangan.

Namun mereka menentang pasukan yang lebih kuat, daripada Liga Super.
Persiapan SUFC agak kelam-kabut pada awal musim apabila terpaksa menyingkirkan calon jurulatih dari Sepanyol, Juan Carlos Magro setelah dua bulan lebih bersama-sama pasukan.

Malah beberapa calon import asing turut diketepikan kerana tidak menepati kriteria yang dikehendaki.

Selepas itu pihak pengurusan SUFC mengambil E. Elavarasan untuk mengemudi pasukan.

Yang pasti, berdasarkan pemain yang dimiliki yang kebanyakannya muka baharu dari Semenanjung, sukar untuk meramal keupayaan sebenar SUFC dalam masa terdekat ini.