KUCHING: Seramai 54 individu daripada 18 keluarga terpaksa berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Mesra Simunjan kira-kira 84km dari sini sejak semalam setelah kediaman mereka di Kampung Simunjan Jaya dilanda banjir.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dalam satu kenyataan hari ini berkata PPS itu dibuka sejak 7 malam tadi bagi menempatkan penduduk terbabit ekoran hujan lebat berterusan yang menyebabkan kawasan rumah mereka dinaiki air.

“Kumpulan pertama yang dipindahkan melibatkan 24 orang daripada 10 keluarga diikuti kumpulan seterusnya seramai 30 orang daripada lapan keluarga, dipindahkan ke PPS yang sama,” kata kenyataan itu.

Maklumat lanjut daripada jawatankuasa itu menyatakan kesemua penduduk yang terlibat dijangka dapat kembali ke kediaman masing-masing hari ini berikutan paras air yang semakin surut. – Bernama