MUKAH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Kepenggunaan (KPDNHEP) Cawangan Mukah, Rabu lalu berjaya menyita lebih 5,500 liter minyak diesel tanpa permit di sebuah kawasan perindustrian di sini.

Ketua Cawangan KPDNKHEP Mukah Salihin Den memberitahu, kesemua minyak diesel yang dirampas tersebut dianggarkan bernilai RM12,650.00.

“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya kepada Suara Sarawak.

Tambahnya lagi, pihaknya turut mengadakan pemeriksaan ke atas alat timbang di kawasan berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati semua minyak diesel tersebut tidak mempunyai sebarang permit seperti yang sepatutnya diperlukan.

Jika sabit kesalahan untuk individu, ujarnya penalti denda tidak melebihi RM1 juta dan penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau memberitahu pihaknya juga akan mengambil tindakan kes ke atas pembekal minyak diesel berkenaan kerana menjual kepada individu yang tidak mempunyai lesen atau permit.

“Kita di KPDNHEP memohon kepada sesiapa yang ingin menjual minyak diesel ini mereka perlu mendapatkan permit dari kita kerana ia salah satu barang kawalan,” ujarnya.