BETONG: Kerajaan GPS memberi penekanan penuh terhadap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan anak Sarawak supaya mereka lebih dinamik dan berdaya saing. Adun Layar Gerald Rentap Jabu berkata, bahasa Inggeris bukan lagi dianggap sebagai bahasa asing sebaliknya merupakan bahasa ekonomi, teknologi dan sains.

Oleh yang demikian katanya, seperti dihasratkan oleh Kerajaan Sarawak, anak-anak Sarawak harus menguasai bahasa Inggeris ekoran kepentingannya dalam dunia yang semakin mencabar. “Bahasa Inggeris merupakan bahasa global yang digunakan secara meluas dalam sektor keusahawanan, sains, teknologi dan digital.

“Jika Sarawak hendak membangunkan modal insan tempatan yang dinamik dan berdaya saing,  maka anak-anaknya hendaklah fasih bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pengerusi Pemuda GPS itu berkata, kerajaan memberikan penekanan dengan mengukuhkan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) dalam kalangan anak muda.

Selari dengan hasrat itu Rentap menambah, Kerajaan GPS telah mewujudkan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs) yang menyediakan pelbagai kursus termasuk teknikal dan digital di beberapa lokasi pusat itu.

“Difahamkan latihan di institusi tersebut bukan sahaja dibiayai oleh Kerajaan Sarawak tetapi graduannya mempunyai kebolehpasaran yang tinggi “Justeru saya menyeru anak muda sama ada lepasan sekolah ataupun yang masih berada di alam persekolahan, rajin-rajinlah bertanya.

“Jangan malu atau berat mulut, menyesal kemudian hari tidak berguna.  “Dapatkan nasihat daripada guru kaunseling dan pihak institusi yang berkenaan. “Ini kerana dalam membangunkan modal insan, Kerajaan Sarawak menyediakan banyak inisiatif bersifat menyeluruh. “Modal insan yang berkemahiran dan berilmu akan menjadikan mereka lebih berdaya saing dalam bidang kerjaya,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu menegaskan, Kerajaan Sarawak tidak pernah mengabaikan pendidikan vernakular. “Malah sentiasa menyokong serta mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC). “Ia juga antara inisiatif Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Kerajaan memberikan dana kepada sekolah bantuan aliran Cina dan sekolah mubaligh,” jelasnya. Rentap terdahulu hadir dalam jerayawara Projek Menjadikan CitaCita Kepada Realiti anjuran Tegas di Dewan Panglima Rentap