KETUA jurulatih skuad Sarawak United FC III (SUFC III), Ahmad Fairuz Yunus bangga dengan keupayaan anak-anak buahnya menyekat skuad handalan, JDT III 1-1 dalam aksi di Stadium Pasir Gudang Isnin lalu.

Gol tunggal SUFC III dijaringkan oleh Alan Lagang pada minit ke-16. Bagi Fairuz, keputusan seri di gelanggang lawan ketika menentang pasukan hebat, adalah satu pencapaian yang amat positif.

AHMAD FAIRUZ…
Jurulatih SUFC III.

“JDT III bukanlah calang-calang pasukan, namun barisan pemain kita menunjukkan aksi cemerlang. “Walaupun tanpa empat pemain utama (cedera), namun kita boleh mengimbangi rentak lawan,” ujar Fairuz.

Menurut bekas pemain pertahanan Sarawak itu, anakanak buahnya beraksi mengikut taktikal dan disiplin yang diarahkan.

“Kita mencapai objektif (seri). Namun kelemahan yang perlu diperbaiki ialah penguasaan bola dan serangan,” jelasnya.

Menurutnya, penguasaan bola memainkan peranan penting untuk menyuntik keyakinan di samping memudahkan gerakan ke arah serangan.

SUFC III kini mengutip empat mata hasil satu kemenangan dan satu seri. Mereka mengalahkan pasukan jiran, Kuching FA U21 3-2 dalam aksi pertama di Stadium Negeri. Mereka akan menentang UiTM FC di Stadium Negeri pada jam 4.15 petang ini. (Khamis)