SARAWAK mencipta sejarah apabila menjadi negeri pertama di Malaysia yang memiliki perkhidmatan bas hidrogen. Perkhidmatan bas ini menjadi mercu tanda kebanggaan kepada rakyat negeri ini apabila mula beroperasi sejak Januari lalu.

Ia memberi impak yang positif kepada Sarawak apabila menjadi tumpuan penduduk bukan sahaja dari negeri ini bahkan dari negera luar. Secara tidak langsung ia akan mengembalikan era kegemilangan orang awam menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

Dunia kini semakin tidak sihat dengan udara kotor akibat pembebasan karbon dioksida dari kereta persendirian yang semakin banyak. Jika dahulu, perkhidmatan pengangkutan awam menjadi pilihan utama dan popular dalam kalangan penduduk.

Tetapi pada hari ini, penduduk lebih gemar mempunyai kenderaan sendiri berbanding menggunakan pengangkutan awam seperti bas atau berkongsi kereta. Maka, dengan adanya bas hidrogen ini, orang ramai akan memilih bas hidrogen sebagai pengangkutan awam mereka.

Ini kerana, bas hidrogen lebih selesa dan mesra alam. Reka bentuk bas ini juga lebih menarik, dilengkapi dengan penyaman udara, kamera cctv untuk keselamatan dan tempat duduk mesra OKU dan warga emas.

Dengan kemudahan yang lengkap, orang ramai akan memilih bas hidrogen sebagai pengangkutan utama mereka jika ingin membeli-belah atau ke tempat lain. Selain mengurangkan gas karbon dioksida, bas hidrogen juga dapat mengurangkan penggunaan kereta di jalan raya.

Secara tidak langsung, perkara tersebut akan dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas. Selain itu, bas hidrogen juga membantu meningkatkan aspek ekopelancongan di Sarawak apabila menjadi tarikan pelancong.

Pelancong dari luar negara pasti tidak mahu melepaskan peluang menaiki bas hidrogen sambil melihat keindahan negeri Sarawak. Mereka juga lebih yakin dengan sistem keselamatan yang terdapat di dalam bas hidrogen.

Pada masa yang sama, penggunaan bas hidrogen akan membantu merancakkan perkembangan ekonomi di Sarawak melalui peniagaan gas hidrogen. Sarawak bakal menjadi pusat dan sumber utama kepada pengunaan gas hidrogen di Malaysia.

Apabila penggunaan kenderaan yang menggunakan gas hidrogen semakin meluas di Malaysia, sudah pasti Sarawak menjadi pusat utama bagi negeri-negeri lain mendapatkan sumber gas itu.

Hal ini akan memberi impak positif kepada ekonomi negeri apabila terdapat sumber yang berterusan di Sarawak. Ini kerana Sarawak kaya dengan sumber air yang menjadi punca menghasilkan gas hidrogen.