SIBU: Seorang lelaki yang dipercayai mempunyai masalah mental bertindak mencederakan bahagian sulitnya ketika sedang menunggu untuk pergi mendapatkan ubatnya di sini, pagi tadi.

Mangsa berusia 25 tahun dikatakan melakukan tindakan itu di sebuah rumah sewa di Jalan Lai Chee jam 9 pagi.

Paramedik dari Hospital Sibu tiba kemudian untuk membantu membalut luka pendarahan sebelum menghantarnya ke hospital untuk rawatan dan pemerhatian lanjut.

Menurut ibu mangsa ketika ditemui pemberita di tempat kejadian, mereka tiba di Sibu dari Roban dan sepatutnya pergi ke hospital untuk membuat rawatan susulan dan mengambil bekalan ubatnya.

Walau bagaimanapun, mereka tidak mempunyai kereta untuk pergi ke hospital, jadi menangguhkan perjalanan tersebut dan menginap sementara di rumah sewa adik perempuan mangsa di Jalan Lai Chee.

Pada kira-kira jam 9 pagi, ibunya berkata dia melihat anaknya masuk ke tandas dan berada lama di dalam tandas.

Dia kemudian merasakan sesuatu yang pelik sebelum menyuruh mangsa keluar.

Selepas mangsa keluar dari tandas, ibunya melihat terdapat darah di dalam mangkuk tandas.

Mangsa mengakui bahawa dia telah mencederakan bahagian kemaluannya hingga berdarah dan sakit.