KUCHING: Seorang lelaki dari Kampung Tabuan Haji Drahman yang mengaku bersalah terhadap kes pecah rumah dijatuhkan hukuman penjara 13 bulan dan denda RM1,000 ataupun dipenjara dua bulan, semalam.

Majistret Mohd Syukri Mokhtar mengarahkan hukuman terhadap tertuduh yang berusia 35 tahun bermula 27 Februari lalu.

Tertuduh mengaku salah di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan setelah melakukan pecah rumah pada jam 11.30 malam di sebuah apartmen di tingkat tiga Jalan Ricketts pada 28 Januari tahun lalu.

Menurut fakta kes, pengadu seorang pelajar universiti mendapati rumahnya di apartmen Jalan Ricketts dipecah masuk pencuri melalui pintu utama rumah tersebut.

Setelah membuat pemeriksaan, pengadu mendapati sebuah beg tangan yang diletakkan di atas almari di ruang tamu hilang. Beg berkenaan mengandungi kad Icom, kad Kesihatan Europe Insuran, kad universiti, wang tunai RM2,000, Baht 1,500 dan SGD$50 dan kesemuanya bernilai RM3,150.

Ops pintu yang dijalankan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah berjaya menahan seorang lelaki yang dikenali sebagai tertuduh pada jam 10.20 pagi 29 Januari lalu.

Soal siasat yang dijalankan pihak polis mendapati tertuduh mengaku merayau di kawasan terbabit dan memecah masuk rumah pengadu dan mencuri barang yang dilaporkan hilang oleh pengadu.