KUCHING: Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) di Tabuan Jaya dilantik sebagai pusat latihan bagi kursus jangka pendek di bawah Skim Kemahiran Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) yang dibiayai Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF).

Timbalan Pengarah Eksekutif (Pembangunan Perniagaan) Kemahiran Sarawak yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kolej i-CATS Mohamad Isham Fauzi berkata, kursus jangka pendek yang ditawarkan itu ialah Basic Programmable Logic Control (PLC) in Automation System dan Wireman Grade II (Single Phase) yang akan bermula pada minggu ketiga Mac ini.

“Kursus ini dibiayai sepenuhnya oleh HRDF,” katanya dalam kenyataan, semalam. Mohamad Isham menambah dengan kemunculan Ekonomi Digital dan Revolusi Industri 4.0 di Malaysia, satu trend yang ketara berlaku ialah peningkatan penggunaan automasi untuk SME, terutamanya dalam sektor perkilangan.

“Kursus PLC yang berlangsung selama tiga hari iaitu, kursus Sistem Automasi akan menjadi langkah pertama yang sangat penting bagi SME menguruskan kos dengan berkesan, meningkatkan produktiviti dan mengembangkan jangkauan pasaran mereka.

“Ini akan menjadi cara yang menarik untuk SME mengubah operasi perniagaan mereka,” ujarnya. Manakala bagi kursus Wireman Grade II (Single Phase) selama lima hari, terdapat prospek kerjaya yang sangat baik untuk menjadikan pengusaha dan majikan lebih cekap di Sarawak.

“Kursus pensijilan ini menyediakan peserta untuk menduduki peperiksaan EIU (Unit Pemeriksa Elektrik) di bawah Kementerian Utiliti Sarawak. “Dengan banyak inisiatif pembangunan strategik di Sarawak dan sasaran negara untuk mencapai bekalan elektrik sepenuhnya menjelang 2025, pelatih yang memulakan kursus juruelektrik dan yang berkaitan boleh mengharapkan kerjaya ini,” jelasnya.

Pendaftaran untuk kursus jangka pendek ini dilakukan secara berterusan dan orang ramai yang ingin mendapat maklumat lanjut boleh menghubungi Mahathir Abang (untuk Kursus Pendek PLC 082-364198, 016-7155398) atau Endra Mulia Askor (untuk ‘Wireman Grade II (Single Phase)’ 082-364241, 010-5657076). Peserta yang berminat juga dijemput mendaftar dalam talian melalui laman web Skills Sarawak (www.ppks.edu.my).