SKUAD Sarawak United FC perlu menggandakan usaha untuk membentuk kombinasi yang lebih mantap selepas kalah 4-2 kepada Pulau Pinang di Batu Kawan Ahad lalu.

“Ini adalah pasukan baharu… usaha perlu dilipatgandakan,” kata ketua jurulatih SUFC, E. Elavarasan. “Kombinasi pemain di beberapa posisi masih agak longgar, jadi ia perlu diperbaiki,” ujarnya.

Namun Elavasaran bangga dengan komitmen anak-anak buahnya yang memberikan tentangan sengit sepanjang saingan. Katanya, nasib lebih memihak kepada tuan rumah kerana berjaya menyempurnakan peluang yang terhidang.

P. Pinang membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh melalui Casagrande, dan menambah dua lagi gol pada minit ke-35 dan 40 menerusi Amer Azhar dan Casagrande untuk mendahului 3-0. SUFC pula merapatkan jurang dua minit sebelum rehat (minit ke-43) melalui Milad.

Namun P. Pinang melebarkan jaringan pada minit ke-53 melalui Dos Santos. SUFC hanya mampu meledakkan satu gol selepas itu, melalui Patrick Ronaldinho pada minit ke-63.

Sarawak akan menentang JDT II di Stadium Sarawak Sabtu ini, pada jam 8.15 malam. Ia merupakan satu lagi tugas berat buat SUFC, jika mengambil kira status dan prestasi JDT II yang seimbang di semua posisi.

Namun SUFC bersiap sedia untuk bangkit semula. Dijangkakan sekitar 5,000 penonton akan membanjiri Stadium Saawak Sabtu ini.