BINTULU: Pasukan Polis Marin Bintulu menahan seorang pemandu lori dan merampas 800 liter minyak diesel bersubsidi yang dipercayai cuba diseleweng dalam pemeriksaan ke atas sebuah lori di tepi jalan KM10, Jalan Tun Hussein Onn, di sini, petang tadi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri  Dan Hal Ehwal Pengguna, Cawangan Bintulu,Nazari Hassan berkata kejayaan tersebut hasil kerjasama pihak KPDNHEP Sarawak dan Pasukan Polis Marin Bintulu.

Beliau berkata siasatan awal tela mendapati pemandu lori berumur 58 tahun itu tidak memiliki lesen atau kebenaran khas untuk mengendalikan barang kawalan iaitu minyak diesel yang dijumpai di dalam lori yang dipandunya.

Lori yang membawa minyak diesel dengan nilai rampasan berjumlah RM 26,704.00 itu, katanya, diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Bintulu untuk tindakan susulan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Siasatan akan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh di denda tidak melebihi tiga juta ringgit bagi setiap barang kesalahan yang dilakukan jika pesalah adalah satu pertubuhan perbadanan atau jka orang itu bukan satu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi satu juta ringgit bagi setiap kesalahan yang dilakukan atau penjara tidak melebihi tempoh selama tiga tahun atau kedua-duanya.

Tegas Nazari, KPDNHEP Bintulu akan sentiasa memantau dan menjalankan pemeriksaan dari masa ke semasa bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan. barangan kawalan.