PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)  yang antara lain membincangkan penganjuran Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Dalam pertemuan di sini yang disertai  Ketua Setiausaha MITI, Datuk Lokman Hakim Ali itu, Muhyiddin  diberi penerangan mengenai sektor perdagangan antarabangsa dan pelaburan asing dalam negara.

Berdasarkan hantaran melalui laman Facebook rasmi Muhyiddin, Lokman juga menerangkan tentang status terkini penganjuran Sidang Kemuncak APEC di mana Malaysia akan menjadi tuan rumah, November ini.

Malaysia memilih tema ‘Mengoptimumkan Potensi Insan ke arah Masa Depan Perkongsian Kemakmuran’ bagi APEC 2020. – Bernama