KETIKA krisis seminggu menentukan siapa Perdana Menteri kelapan Malaysia, situasi politik Sarawak yang dua tahun mesra Kerajaan PH di peringkat Persekutuan sudah lama dilihat berada dalam ‘penafian’ Putrajaya. Terdapat beberapa isu kelihatan tidak menyebelahi Kerajaan Sarawak di bawah GPS pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Pembangkang yang mempunyai ikatan dengan parti yang menguasai Putrajaya memandang rendah keupayaan pemimpin kabinet negeri. Ada pemimpin pembangkang di Dun Sarawak berterusan memperlekeh pemimpin kerajaan yang dapat diikuti pada sidang Dun mahupun sidang media mereka.

Perjuangan menuntut untuk memulihkan hak Sarawak menurut Perjanjian Malaysia (MA63) tidak lancar. Sekolah daif untuk anak generasi negeri ini tidak dimulakan meskipun Sarawak sudah membayar pantas hutang RM700 juta daripada RM1 bilion yang sepatutnya dilunaskan mengikut pelan tersusun.

Cukai jualan 5 peratus pembayarannya ‘ditahan’ Petronas ketika syarikat minyak lain menunaikan tanggungjawab membayar Cukai Jualan Negeri yang dikuat kuasa 1 Januari 2019. Hati siapa tidak terluka, setiap kali ada peluang, pemimpin Persekutuan terus menghentam Kerajaan Negeri.

Menteri Kewangan ketika menjejak kaki di ‘rumah orang’ sebagai ‘tetamu’ pernah menempelak Sarawak bankrap dalam tempoh tiga tahun gara-gara membentang bajet yang sukar diterimanya. Tidak cukup dengan itu, seperti membalas dendam, banyak projek yang diluluskan kerajaan terdahulu untuk Sarawak ditarik balik pemimpin dominasi Dap atas alasan kewangan negara tenat.

Dalam politik Kerajaan GPS yang mesra Persekutuan, apakah pilihan yang dapat Ketua Menteri lakukan ketika pemimpin setempat tidak dibenar ‘mendekati sekolah”’, liputan media negeri ini semacam disenyapkan memasuki media arus perdana.

Ketika krisis memuncak, Pengerusi Dap Sarawak Chong Chien Jen tiba-tiba mengajak GPS bekerjasama atas nama kepentingan negara, meminta menolak parti politik yang didakwanya ‘perkauman’ dan ‘pelampau agama’. PKR pula sebelum ini bertekad menjatuhkan GPS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung.

Ketika Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberi bayangan bahawa GPS tidak menyokong Dap dalam menghadapi kebuntuan ini atas sikapnya mungkir janjinya selama ini, sudah terbayang PH bakal gagal kembali ke tampuk kuasanya bertolak daripada kuasa interim.

Pendirian jelas Abang Johari memberi petunjuk GPS sedia menyokong gagasan politik kebangsaan yang bersedia menunaikan hak dan janji demi kepentingan Sarawak. Atas nama kepentingan Sarawak, Abang Johari mendedahkan beliau menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri kelapan atas kapasiti mesra Perikatan Nasional demi menyelamatkan negara dilanda kemelut politik.

Ketetapan ini menjadikan ia permulaan baharu buat politik Sarawak. Masih banyak yang perlu dilaksanakan demi menemui makna Sarawak sebagai satu daripada tiga wilayah yang membentuk Malaysia. Pendek kata, ia baharu sahaja bermula untuk situasi yang masih belum menentu, sementara menanti tibanya PRN-12.