DEBAK: Kerajaan Sarawak menyokong sepenuhnya hasrat belia Saribas untuk mempopularkan semula permainan gasing, sekali gus menjadikan Daerah Kecil Debak sebagai pusat pertandingan pada masa akan datang.

Adun Saribas Mohammad Razi Sitam berkata, pihaknya merancang untuk mengetengahkan permainan gasing yang merupakan sukan tradisional masyarakat Melayu dalam kalangan generasi muda. “Kami (kerajaan) ingin melihat permainan gasing dipopularkan semula. Kami mahukan ia menjadi sukan pilihan generasi baharu.

“Lebih-lebih lagi di Debak, kita mempunyai tulang belakang yang cukup kuat iaitu Kelab Gasing Tradisional Saribas, pengadil berpengalaman, kemudahan dan paling penting adalah minat masyarakat.

“Sebagai langkah awal, tahun ini kita akan membina sebuah rumah gasing (tempat pertandingan) yang lebih selesa menggunakan peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Suara Sarawak selepas merasmikan Pertandingan Pangkah Gasing Tradisional Saribas Terbuka Sarawak (Piala Pusingan YB Razi) anjuran Persatuan Usahawan Penjaja Debak dengan kerjasama Kelab Gasing Tradisional Saribas di Debak.

Jelasnya, daerah ini tidak mustahil dapat menjadi pusat pertandingan permainan gasing yang terkenal suatu hari kelak. Menurutnya, penganjuran sulung pertandingan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada beberapa kawasan utama seperti Saratok, Samarahan (Ladong) dan Debak sendiri.

“Saya difahamkan terdapat 39 pasukan menyertai pertandingan dan kebanyakan mereka dalam kalangan anak muda selain golongan veteran. “Insya-Allah selepas ini saya harap Kelab Gasing Tradisional Saribas dapat terus merancang dan menganjurkan program yang lebih hebat lagi,” ujarnya lagi.

Pertandingan tersebut dimenangi Ilham Construction A dan Jamaco (naib juara). Keduaduanya dari Saratok. Ilham dibarisi Rahmadi Humaidi (juga sebagai pengurus) serta Rosli Mosli dan Rosli Gobelt yang berjaya membawa pulang hadiah RM1,000.

Manakala pasukan Jamaco terdiri daripada Harjam Jamain (pengurus) dan rakannya, Juni Nuri, Meheri Buang dan Ali Buang memenangi hadiah RM700. Sementara Maha Biru 2 yang menyandang tempat ketiga menerima hadiah RM500 dan pasukan tuan rumah Kuchai Mas sekadar berpuas hati di tangga keempat dengan membawa pulang hadiah RM300.