MIRI: Seorang nelayan dikhuatiri hilang selepas perahu ditemui berlabuh tanpa kehadirannya sekitar jam 7 pagi tadi.

Difahamkan, perahu tersebut dijumpai para nelayan lain, terletak pada jarak 500 meter daripada pantai Kampung Kuala Bakam.

Mangsa, Kadri Tera, 71 dipercayai hilang selepas turun ke laut untuk menangkap udang.

Menurut anak mangsa, Jabi Kadri, 44, kali terakhir bapanya dilihat semasa turun ke laut, sekitar jam 10.30 malam semalam.

Setakat jam 12.30 tengah hari tadi, mangsa masih belum ditemui dan usaha pencarian sedang giat dilakukan.