KUCHING: Majlis Islam Sarawak (MIS) serius untuk memperkasa pendidikan Islam bermula dari peringkat prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah hingga ke peringkat universiti.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, usaha tersebut akan melibatkan kerjasama pakar dan institusi pendidikan dari dalam dan luar negeri.

Menurutnya, ia penting untuk memastikan Sarawak mampu melahirkan lebih ramai bijak pandai dan ilmuwan Islam pada masa akan datang.

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg turut memberi penekanan kepada pendidikan Islam di Sarawak. “Penekanan ini akan diberikan dari peringkat awal kanak-kanak hingga ke tahap tertinggi.

“Kami berusaha untuk menubuhkan sistem pendidikan Islam dengan kewujudan sekolah Islam antarabangsa dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.  Beliau berkata demikian ketika berucap pada Lawatan Rasmi Ke Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (Ikmas) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Sarawak di sini baru-baru ini.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, ia penting bagi memberi kelebihan kepada golongan tersebut untuk menempuhi cabaran kehidupan yang semakin mencabar. “Kita memang berharap untuk melahirkan ilmuwan dan cendekiawan Islam yang dapat menguasai pelbagai bidang.

“Kalau boleh, kita mahu melahirkan ustaz atau ustazah yang mempunyai kemahiran dalam bidang lain seperti teknologi maklumat, perubatan dan kejuruteraan,” ujarnya. Dr Abdul Rahman turut berharap Ikmas dapat bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak untuk melahirkan ilmuwan dan cendekiawan Islam.

Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Ustaz Khalidi Ibrahim; Pengarah Jakim Sarawak Hamdan Jaraee dan Pengarah Ikmas Dr Mohd Yamin Ismail turut hadir.