KUCHING: Hope Place Kuching kini sedang mencari sukarelawan dari seluruh Sarawak yang boleh menjadi pemandu pacuan empat roda 4×4 untuk ekspedisi sukarelawan pada kali ini.

Bagi tahun ini ekspedisi kebajikan akan menuju ke empat rumah panjang di Lingga dan Sri Aman, di mana sukarelawan yang terlibat akan menyediakan perkhidmatan makanan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan dandanan rambut.

Untuk ekspedisi projek amal tahunan iaitu Memberi Harapan, Perkongsian Cinta (GHSL) ini akan dimulakan pada 18 April ini, yang mana ekspedisi secara konvoi memandu pacuan empat roda ini bermula dari Kuching.

“Dianggarkan 20 buah pacuan empat roda akan terlibat sama, termasuk melibatkan sesi ‘jungle trekking’ selama sejam untuk sampai ke dua daripada empat buah rumah panjang pada kali ini.

“Semua perbelanjaan untuk kenderaan pacuan empat roda 4×4 seperti petrol, penyelenggaraan dan pembaikan perlu ditanggung oleh pemandu trak sukarela ini sendiri,”jelas Hope Place dalam satu kenyataan.

Maklumat lanjut tentang program ekspedisi berkenaan, orang ramai boleh menghubungi Michael Chin di talian 016-6439878.

Pendaftaran untuk pemandu trak 4×4 adalah percuma dan tarikh tutup pendaftaran adalah pada 31 Mac ini.