BETONG: Seorang ibu bersama dua anaknya berhadapan detik cemas apabila berlaku kejadian tanah runtuh ketika mereka melalui satu jalan dekat Ulu Spak, awal pagi tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong Kapten Usman Harto memberitahu, tiga beranak itu bagaimanapun bernasib baik.

“Si ibu yang juga pemandu Perodua Viva, Marilyn Usin@Jusing, 29 dalam perjalanan menghantar anak ke sekolah.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, berlaku tanah runtuh. Marilyn bertindak pantas menyelamatkan anak-anaknya dengan keluar daripada kenderaan,” katanya dihubungi, hari ini.

Jelasnya, ketiga-tiga mereka disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Namun, kereta yang dinaiki menjunam ke dalam gaung,” ujarnya.

Usman menambah, jalan tersebut terputus sepenuhnya dan tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan.

Penilaian pihaknya mendapati, kawasan terbabit juga masih berisiko berlakunya pergerakan tanah.

Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan menggunakan jalan alternatif lain yang turut menghubungkan kawasan Padeh.