SRI AMAN: Jalan utama sepanjang menaiki Bukit Begunan yang terganggu akibat tumpahan minyak pagi tadi dilaporkan kembali pulih.

Ketua Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman Inspektor Leston Norman bagaimanapun mengingatkan pengguna jalan raya agar terus meningkatkan tahap waspada ketika memandu.

“Pada ketika ini keadaan sudah kembali pulih.

“Namun, polis berharap setiap pengguna lebih berhati-hati serta mematuhi peraturan jalan raya memandangkan musim hujan dan jalan dalam pembinaan,” katanya di sini, hari ini.

Jelasnya, tumpahan minyak yang berlaku kira-kira 9:30 pagi tadi menyebabkan keadaan jalan licin dan berbahaya.

“Ia dipercayai berpunca daripada sebuah lori tangki minyak yang bergerak dari arah Sri Aman ke Kuching.

“Namun, kita bersyukur tiada kemalangan dilaporkan.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat membersihkan tumpahan minyak tersebut seperti bomba dan pihak syarikat pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo termasuk anggota kita yang bertanggungjawab mengawal lalu lintas,” ujarnya.