KOTA SAMARAHAN: Dalam usaha memberi pengiktirafan kepada lebih 250 kakitangan dan warga Unimas, satu majlis tahunan Majlis Anugerah Gemilang Unimas diadakan di Arena Gemilang Detar Putra semalam.

Pengiktirafan kali ini diberikan kepada pencapaian cemerlang peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam bidang pengajaran, penyelidikan, pentadbiran, malah sukan serta aspek inovasi kepada individu mahupun anugerah berkumpulan dengan tema Teguh Bersama.

Majlis itu menyaksikan pengiktirafan diberikan kepada 154 kakitangan yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) atas prestasi cemerlang dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab sepanjang 2019.

Selain itu, 25 kakitangan menerima Anugerah Perkhidmatan Setia (APS) untuk pengiktirafan perkhidmatan selama 20 tahun di Unimas dan 21 kakitangan menerima sijil penghargaan persaraan. Kakitangan akademik turut dianugerahkan dalam 10 kategori anugerah akademik manakala kakitangan bukan akademik dianugerahkan dalam lima kategori anugerah pengurusan.

Selain itu, empat anugerah sukan turut diberikan kepada kakitangan cemerlang dalam bidang sukan.

Majlis kali ini turut menyaksikan penyerahan sijil penghargaan kepada pusat dan fakulti yang membantu dalam pengiktirafan kedudukan Unimas dalam kalangan universiti dalam dan luar negara.

Turut hadir Setiausaha Persekutuan Sarawak Mohd Shahabuddin Omar, ahli Lembaga Pengarah Unimas, barisan pengurusan tertinggi Unimas Ahli Majlis Dekan serta penerima anugerah dan kakitangan Unimas.