SARIKEI: Kerajaan menyediakan inisiatif menyeluruh dalam usaha melahirkan lebih ramai anak Sarawak yang berkemahiran dan mampu bersaing dalam segenap bidang.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, melalui langkah proaktif itu, belia Sarawak dapat mencipta banyak peluang pekerjaan, dan bukan sekadar menunggu pekerjaan datang kepada mereka.

Untuk melahirkan modal insan yang berkemahiran dalam digital katanya, Kerajaan Sarawak membina Pusat Kemahiran Teknikal Sarawak (Centexs) yang menyediakan beberapa kursus teknikal dan digital di Kuching, Lundu dan Lawas.

“Latihan di institusi ini bukan sahaja dibiayai oleh kerajaan, tetapi mempunyai graduan yang mempunyai kebolehpasaran yang tinggi. Centexs juga bekerjasama dengan Syarikat Huawei dalam bidang digital. “Manakala dalam bidang keusahawanan pula, kita membangunkan hab digital di Kuching, Miri, Bintulu, Sarikei, Betong, Mukah dan Kapit,” katanya sempena perasmian Program Jelajah Pendidikan, Project of Dream Realized Roadshow, di sini, semalam.

Beliau memberitahu, Hab Inovasi Digital Tegas yang diwujudkan kerajaan turut menyediakan ekosistem inovasi digital dan keusahawanan dalam kalangan belia tempatan. Ujarnya, Kampung Digital Tegas yang akan siap dibina pada Julai depan berperanan sebagai platform penting untuk memudahkan produk menembusi pasaran antarabangsa.

Dalam usaha menyediakan pendidikan berkualiti katanya, kerajaan membangunkan sekolah baharu bagi menggantikan bangunan sekolah daif. “Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Penyelidikan Sarawak mengenal pasti 1,002 sekolah daif dan 415 buah dalam keadaan sangat kritikal. “Selain itu, kita juga menekankan penguasaan bahasa Inggeris pelajar di Sarawak.

Bahasa Inggeris adalah bahasa global bagi keusahawanan, sains, teknologi dan digital,” katanya. Len Talif yang juga Adun Kuala Rajang berkata, kerajaan turut memberikan penekanan untuk mengukuhkan bidang Kejuruteraan, Sains, Teknologi dan Matematik selain tidak mengabaikan pendidikan vernakular. Malah ujarnya, kerajaan sentiasa menyokong serta mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC).

Mengulas lanjut beliau berkata, sebanyak RM9.9 bilion disediakan untuk memacu pembangunan sosioekonomi yang akan menguntungkan seluruh rakyat “Kita juga memberikan dana kepada sekolah bantuan aliranbahasa Cina dan sekolah misi. Pada masa yang sama, kerajaan melalui Yayasan Sarawak menyediakan dana biasiswa untuk Sarawak.

“Daripada inisiatif itu, ternyata Kerajaan Sarawak menekankan pembangunan modal insan yang dapat berdaya saing dalam era digital ini, “ jelasnya. Ketua Pegawai Operasi Tegas Awangku Merali Pengiran Mohamed dan Timbalan Residen Sarikei Abang Porkan turut hadir.