KUCHING: Rakyat Sarawak digesa menumpukan perhatian berterusan terhadap pencegahan wabak rabies di negeri ini walaupun negara berhadapan dengan wabak Covid-19 serta ketidaktentuan politik.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, kini lebih 300 kes melibatkan gigitan anjing dilaporkan pada setiap bulan.

Untuk itu, beliau berharap kesedaran orang awam, terutamanya pemilik anjing, pihak berkuasa tempatan serta pihak veterinar selain perlu mengambil serius akan wabak rabies. “Kami mahu kes gigitan anjing berkurangan. Jika ada sesiapa digigit, segera ke hospital untuk mendapatkan vaksin antirabies.

Jika tidak ia boleh membawa maut. “Saya juga merayu pengusaha kedai makan agar bijak menguruskan pelupusan bahan buangan makanan bagi mengelakkan masalah terutama melibatkan anjing liar,” katanya dalam majlis penyerahan kereta pelbagai guna kepada 26 wakil bagi pihak berkuasa tempatan di MBKS. baru-baru ini.

Dalam pada itu tambahnya, Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan jutaan ringgit untuk pemvaksinan percuma sejak 2017. Jabatan Perkhidmatan Veterinar hingga kini jelasnya, secara berterusan menjalankan pemvaksinan setiap minggu di seluruh Sarawak.

“Sehingga kini, Miri, Sibu dan Kuching sudah memiliki tempat perlindungan anjing liar yang ditangkap oleh pihak berkuasa ini,” katanya.