KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Dr Ong Kong Swee berkata, persiapan kontinjen Sarawak untuk menghadapi Sukma 2020 di Johor Bahru pada Julai depan kini sudah 80 peratus siap.

Beliau mendedahkan Sarawak akan mengambil bahagian dalam 32 acara, termasuk acara e-sukan, yang merupakan acara baharu. “Kami sedang melakukan sentuhan terakhir dan semua atlet bersedia untuk beraksi,” katanya kepada media ketika meninjau latihan skuad bola tampar Sukma Sarawak di Stadium Bola Tampar Sibu baru-baru ini.

Turut mengiringi ialah Presiden Persatuan Bola Tampar Sibu Dr Wiliam Ting Wei Ung dan Pengurus skuad bola tampar Sukma Sarawak Datuk Moh Wung Ming.

Mengenai sasaran pingat, Ong menjelaskan bahawa beliau bukanlah individu yang berhak untuk menetapkan sasaran itu. Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua atlet dalam acara sukan masing-masing untuk mempamerkan yang terbaik. Beliau berkata, pihaknya kini juga sedang mengenal pasti senarai atlet yang akan dipilih pada penghujung bulan ini.

Mengenai elaun atlet, Ong mengingatkan persatuan sukan masing-masing untuk memohon kepada SSC dan mengikut prosedur yang sepatutnya untuk bayaran elaun atau logistik lain. Beliau juga menjelaskan rancangan untuk menghantar atlet untuk latihan di luar negara mungkin akan ditangguhkan kerana wabak Covid-19.

“Sekiranya keadaan masih tidak mengizinkan dalam beberapa minggu akan datang, kita mungkin terpaksa beralih kepada Pelan B. Ia adalah untuk memberi tumpuan kepada latihan di kawasan terpilih di Sarawak sahaja,” katanya.