PANTU: Operasi mencari dan menyelamat (Sar) anak kecil Patrik Igih Mohd. Taufik yang memasuki hari ketiga dimulakan dengan upacara miring di lokasi dia dipercayai hilang.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Tiga Sri Aman PgB Nik Muhammad Afiq Nik Roslan memberitahu, operasi hari ketiga juga lebih rancak dengan penglibatan 95 orang dari pelbagai agensi termasuk penduduk kampung.

Katanya, turut serta seekor anjing pengesan (Bailey) daripada Unit K9 JBPM.

“Walau bagaimanapun, sehingga 5:00 petang pasukan Sar masih belum menemui sebarang klu.

“Operasi akhirnya ditangguh dan akan disambung esok,” katanya di sini, hari ini.

Jelasnya, operasi yang bermula kira-kira tengah hari sebaik selesai upacara miring dibahagikan kepada empat sektor.

“Antara fokus ialah melakukan pencarian dengan berjalan kaki menyusuri anak sungai dari hulu ke hilir dan hilir ke hulu berhampiran lokasi Igih dipercayai hilang.

“Selain itu, kita menggunakan anjing pengesan (Bailey) untuk mencari dalam radius satu kilometer,” ujarnya.

Pada Rabu lalu, Igih dilaporkan hilang selepas ditinggalkan di pondok dekat kawasan ladang sawit Rapak Baru dekat sini.