KUCHING: Kami cuba menggapai tangannya tetapi gagal sebelum dia tenggelam dibawa arus.

Itu perkongsian dua rakan pelajar SMK St Joseph Kuching, Justin Connelies Philip berusia 14 tahun yang dikhuatiri lemas di Sungai Bintangor di Kampung Ajibah Abol, 500 meter dari pusat bandar.

Dalam kejadian 5 petang itu, tiga sekawan baru balik dari sesi petang persekolahan berjalan ke perkampungan itu dan makan bersama-sama di sebuah gerai berdekatan tempat kejadian.

Memberitahu Suara Sarawak, dua rakan mangsa Ahmad Rafiaiman Turmizee 14 dan Airulazwa Muhd Daniel 13, selepas makan mereka mengambil keputusan untuk mandi.

“Mangsa terjun dan terkapai-kapai menggapungkan diri. Kami cuba menggapai tangannya, namun tidak mampu kerana arus deras.

“Dia tenggelam,” kata kedua-duanya yang masih terkejut dan sedih.