LEBIH setahun menemui pembaca, akhbar Suara Sarawak semakin mendapat tempat di hati masyarakat. Malah berjaya menembusi kebanyakan kawasan di negeri ini. Secara realiti, tempoh tersebut merupakan saat genting bagi sebuah akhbar baharu.

Apa tidaknya, masyarakat sebenarnya sudah terbiasa dengan beberapa nama lain yang dianggap veteran daripada Suara Sarawak. Malah ada yang telah wujud sejak puluhan tahun dahulu. Maka cabaran untuk menempatkan nama akhbar baharu ini sebaris dengan kelompok akhbar lama, baik tempatan mahupun nasional cukup getir.

Ini tanggungjawab besar yang dipikul oleh pihak pengurusan tertinggi khususnya untuk mencaturkan yang terbaik untuk akhbar ini dan menetapkan hala tuju sebenarnya. Lebih-lebih lagi mendepani senario industri media negara mengalami kemerosotan sehingga akhbar tertua negara pun tumbang.

Namun, adakah itu kayu ukur yang menentukan survival Suara Sarawak?

Penulis yakin, ramai dalam kalangan pemain industri melahirkan kebimbangan terhadap tindakan berani Suara Sarawak. Kerana, secara logiknya tiada siapa akan berani merempuh arus setelah mengetahui industri media negara semakin suram.

Sebagai salah seorang ‘karyawan’ yang bertugas di lapangan, penulis begitu yakin dengan peneraju akhbar ini. Boleh dikatakan ‘ketua kami’ dan pasukan yang ada bukan calang-calang orang. Mereka mempunyai hala tuju yang jelas, yakin dan berkarisma dalam membentuk akhbar ini.

Tahniah kepada semua warga kerja Suara Sarawak. Tahniah buat wartawan muda yang sanggup belajar untuk mengisi ruangan akhbar dengan berita yang berkualiti.

Ketahuilah, peranan kita adalah untuk menyampaikan sesuatu yang tepat kepada masyarakat. Peranan kita adalah untuk menyampaikan segala inisiatif kerajaan supaya sampai kepada masyarakat agar mereka mendapat manfaat daripadanya.

Peranan kita juga adalah untuk menghiasi hari-hari masyarakat dengan kandungan yang penuh warna-warni. Bukan hanya berita tetapi memaparkan suara rakyat, perkongsian pemikiran pakar-pakar, analisis terperinci sesuatu isu dan sebagainya.

Ketua Pegawai Eksekutif SV News Sdn Bhd Dr. Jeniri Amar memberitahu, Suara Sarawak menghidangkan kandungan editorial yang menepati cita rasa dan kehendak khalayak dengan berpegang kepada prinsip ‘kandungan ialah raja’.

Menurutnya, kandungan yang dihidangkan dipersembahkan dengan gaya inovatif dan dinamik, dibantu dengan infografik yang menarik. “Media cetak, khususnya akhbar, pada saya, masih punya peranan penting sungguhpun berada di tengah-tengah ledakan media sosial dan penyebaran berita palsu yang melampau sebagaimana yang kita alami sendiri ketika negara berdepan dengan krisis dan gelora politik dalam minggu ini dan minggu lepas.

“Tugas dan tanggungjawab akhbar adalah untuk menyebarkan berita yang sudah disahkan kesahihannya, bukan menyebarkan fitnah atau berita palsu. “Kami bertanggungjawab untuk menyebarkan sesuatu hanya selepas disahkan benar oleh sumber.

“Atau dengan kata lain, kebenaran yang cuba dipaparkan oleh Suara Sarawak adalah sesuatu yang bersandarkan prinsip kewartawanan bertanggungjawab dan beretika dengan mengutamakan disiplin verifikasi,” katanya.

Justeru, masyarakat diharap bijak membuat pilihan hidangan sumber mana yang boleh dipercayai dan diharus dibaca. Ketika ini laman-laman media sosial tumbuh seperti cendawan selepas hujan dan ada kalanya meragukan berikutan penyebaran berita palsu berleluasa.

Sokongilah Suara Sarawak dan bacalah sebagai sumber informasi utama agar kami sebagai pemain utama industri media di Sarawak dapat terus menyajikan yang terbaik. Selain menggunakan platform akhbar cetak, pembaca juga boleh mengikuti berita-beritanya melalui laman media sosial.

Dan, terbaharu sebagai langkah ke depan setahun usia Suara Sarawak, ia turut diperkenalkan kepada masyarakat dengan konsep e-paper selari dengan kepesatan teknologi yang berkehendak semua urusan di hujung jari.

Dengan itu, liputan edaran Suara Sarawak diharap akan lebih luas menjangkau segenap pelosok negeri ini. Profesionalisme kewartawanan dan etika yang dipegang selama ini akan terus menjadi prinsip untuk menghasilkan kandungan yang terbaik serta berkualiti.