BETONG: 18 pelajar asrama terpaksa pulang ke rumah masing-masing dekat Mupoh Atas, Mupoh Baroh dan Kabok menggunakan khidmat ‘Lori Man’ Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Ia berikutan jalan utama menuju ke rumah panjang mereka terputus akibat tanah runtuh yang berlaku awal pagi Khamis lalu.

Enam daripada mereka merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Layar dan 12 lagi pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Spak.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong Kapten Usman Harto, khidmat kemanusiaan tersebut dilakukan selepas pihaknya menerima panggilan daripada Tr. Anji Bala kira-kira 2:15 petang tadi.

Anji memberitahu, pihaknya meminta bantuan APM ekoran semua kenderaan milik ibu bapa berada di seberang jalan yang terputus.