KUCHING: Seorang lelaki warga tempatan mengalami detik cemas setelah kenderaan jenis Perodua Axia dipandunya terbabas lalu menjunam ke dalam sungai di sebuah jambatan berhampiran Jalan Belatok, Taman Malihah, pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu mengesahkan kejadian berlaku sekitar jam 8.30 pagi ketika kenderaan terbabit dalam perjalanan dari arah Batu Kawa menuju ke Taman Malihah.

Menurutnya, kejadian membabitkan seorang mangsa, iaitu pemandu kenderaan yang dikenali sebagai Ecclesiastes Ampeti berusia 46 tahun.

“Kemalangan berpunca setelah stering kenderaan tersebut dikatakan tersangkut dan gagal dipusing.

“Ekoran itu, kenderaan yang dipandu oleh mangsa terbabas lalu masuk ke dalam sungai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan kejadian, katanya, mangsa bagaimanapun disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan akibat daripada peristiwa tersebut.

Walaubagaimanapun, dedahnya siasatan terhadap kes masih lagi dijalankan.

Ujarnya, kes diklasifikasikan di bawah Peraturan 10LN166/59.