BETONG: Lencongan sementara bagi menggantikan jalan putus dekat kilometer 2.4 Jalan Nanga Buai Merunjau/Spak sudah boleh dilalui.

Jurutera Bahagian JKR Bahagian Betong Chiresly Francis Kureng memberitahu, bagaimanapun ia belum siap sepenuhnya.

“Namun, laluan sementara yang kita bina sebagai kemudahan penduduk di sebelah hulu ketika ini sudah boleh dilalui sungguhpun ia masih tanah.

“Justeru, sesiapa yang hendak menggunakannya perlu lebih berhati-hati,” katanya di sini, hari ini.

Jelasnya, kerja menabur batu pada jalan tersebut akan dilakukan esok (Ahad).

Tanah runtuh yang berlaku pada Khamis lalu menyebabkan jalan utama (Jalan Nanga Buai Merunjau/Spak) terputus.

Ia menjejaskan penghuni dari 20 rumah panjang di sebelah hulu dan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Lawih serta Klinik Kesihatan Nanga Lesu kerana mereka terpaksa menggunakan jalan alternatif yang jaraknya terlalu jauh dan sangat memakan masa.